Pages

Saturday 12 July 2014

SAKITNYA MEMBENCIMU




Suasana dewan kuliah sangat bising sebaik sahaja pensyarah melangkah keluar dari dewan tersebut. Namun, masih ada segelintir pelajar yang senyap dan terus mengulang kaji pelajaran di tempat masing-masing. Bagi Julia, amat penting baginya untuk belajar dari awal untuk lulus peperiksaan akhir setiap sem dan menamatkan pengajian sebagai pelajar Sarjana Muda Fisioterapi di universiti terkemuka ini.
“Jo, taknak balik lagi ke? Petang ni kitorang ingatkan nak main futsal jap, nak join tak?” tanya Suraya. Julia tekun menulis nota sambil menelaah buku teks, “korang main la dulu, aku join lambat sikit-sikit kot”. “Pfftt, study laa tu”, mengeluh Suraya lalu beredar dari tempat itu. Suraya merupakan salah seorang daripada housemate Julia yang paling rapat dengan Julia. Semuanya ada 7 orang, satu bilik dua orang. Hanya Julia seorang yang duduk sorang dalam satu bilik. Dan semuanya satu geng. Kemana, buat apa, mereka selalunya bersama.
“Weh, kau ada tak ajak Jo tadi, kang tak ajak cakap kita tak nak kawan dengan dia pulak.”
“Dak ajak dah. Dia cakap dia datang lambat sikit.”
“Ellehhhh yela tu, datang la sangat. Lambatlah kononnya. Si ulat buku tu, aku boleh bet laa, aku bagi 20 hinggit kat kau kalau dia muncul kat padang tu. Time ajak main bola tampar hari tu pun cakap datang lambat, hemphhh, hampeh.” bebel Eli. Sambung lagi “kita ni sebagai pelajar baru, kenelah aktif. Rajin-rajin turun padang barulah sihat tubuh badan, otak pun cerdas. Lagipun, keluar dari bilik dapatlah jugak mencuci mata” tersengeh-sengeh Eli sambil mengangkat keningnya.
Fathin yang tak tahan dengan Eli lantas menolak dahi Eli dengan jari telunjuknya. “Eeeee, menyampah aku. Bukan main pon, tergedik-gedik mengintai abang-abang main futsal. Aku tampaq satgi baru tau.” Eli mengaduh kesakitan mencebik bibirnya. Kawan-kawan yang lain hanya la ketawa berdahak-dahak melihat gelagat mereka.

Julia, Suraya, Eli, Fathin, Syazlin, Anasuhah, dan Tengku seperti kebiasaannya akan makan malam bersama di kafe kolej kediaman tersebut. Meluangkan masa bersama dan berbual dan bergosip dan bergurau senda. Mereka sangat dikenali oleh pelajar-pelajar disitu. Suraya, Eli dengan Fathin sangat aktif dalam sukan manakala Syazlin, Anasuhah, dan Tengku sangat aktif dalam persatuan. Hanya Julia sahaja yang kurang bersosial dengan pelajar lain. Nasib baik Julia ada rakan-rakan serumahnya yang baru dikenalinya sebulan lepas.
“Jo, cakap nak turun tadi, tapi xde pun. Kalau kau turun tadi, boleh tengok aku jadi hero fakulti kita lawan dengan bebudak medic tadi. Fuhhh, 2 gol tu.” bangga Eli.
“Penatlah. Aku terlepas bas tadi. Sampai bilik pun pukul 6.30.”
“Haishhh budak library syok sangat date dengan lecture note nih.” sindir Syazlin.
“Mana ada, aku siapkan assignment je.” Julia balas seringkasnya.
“Nak tengok boleh, hehe. Diorang ni pun nak tengok jugak ni.” minta Syazlin.
“Hoi Syaz, buat sendiri arrr. Malu la tiru.” marah Tengku.
“Elllehh, macam laa aku sorang. Korang pun sama nanti. Kita tengok la.”
Mereka masih bertikam lidah tapi memang selalunya mereka memang macam ni. Macam Tom&Jerry. Kucing dan anjing. Api dan air. Tak sependapat tapi itulah cara mereka bermesra. Julia hanya diam dan terus menghabiskan makanan kegemarannya, mihun tomyam. Tatkala khusyuk menghabiskan makanan dan berbual dengan rakan-rakan, Julia perasan akan kelibat seorang lelaki yang seperti dikenalinya sedang memilih makanan  namun agak jauh untuk Julia mengecamnya. Matanya sedikit rabun semenjak matrikulasi lagi. Dia terpaksa mengecilkan matanya untuk memberi fokus terhadap lelaki itu. Kelibat lelaki itu makin jelas tatkala lelaki itu makin hampir sedang memilih tempat untuk makan. Jantung Julia tiba-tiba berdegup kencang, matanya membulat, badannya tiba-tiba terasa panas melihat lelaki itu. Ya, lelaki itu sangat dikenalinya. Lelaki itu merupakan kenangan silam yang sangat pahit dalam hidupnya. Julia bersumpah takkan bersua muka lagi dengan lelaki itu.

Sementara menunggu kelas Anatomi lagi dua jam, Julia menggunakan sebaik mungkin masa yang terluang ni. Perpustakaan adalah tempat kegemaran Julia menalaah buku dan nota kerana keadaannya yang senyap. Tetapi, fokusnya melencong dari jalan kebiasaannya. Julia tidak boleh tidur semalaman selepas lelaki yang dibencinya selama ini mucul kembali dalam mindanya. Lelaki itu mengingatkan dia kenangan pahit dulu. “Kenapa kau boleh ada disini?” monolog sendiri Julia sambil menggenggam pen yang dipengangnya.
“Hoi, jauh mengelamun makcik”. Julia terkejut dengan sergahan Suraya. Julia hanya tersenyum. “Apecerrr Therapeutic Exercises? Hahahahaha.” gelak kecil Suraya.
“Apa mimpi datang library ni?”
“Amboi, salahke aku datang sini, adoiii. Sekali sekala nak rasa juga jadi budak library, Si Nerdy hoi.” 
“Heh, don’t call me nerdy please.” jeling Julia.

Lima minit sebelum kelas Anatomi, Timbalan Dekan Fakulti masuk ke dalam dewan kuliah. Suasana yang bising tadi diam seketika. Sepertinya ada pengemuman yang akan disampaikan oleh Prof.
“Ok, sini saya mahu maklumkan kepada anda semua yang kita ada pelajar baru. Beliau sebenarnya daripada universiti kerajaan yang terkemuka dalam jurusan yang sama. Memandangkan anda semua baru je sebulan masuk sini, jadi tak terlambatlah saya menerima permohonannya untuk belajar disini. Jadi, saya harap anda semua dapat memberi kerjasama terhadap beliau. Muhammad Firdaus, awak boleh masuk sekarang.”
Sejurus nama itu disebut oleh Prof, Julia terkejut tapi masih memandang ke bawah melihat nota-nota. Membeku, otaknya kosong walaupun matanya melihat huruf-huruf cetakan atas kertas itu. Keadaan dewan kuliah senyap seketika memberi perhatian kepada pelajar baru untuk memperkenalkan diri. Pelajar-pelajar memandang pelajar baru tersebut masuk kedalam dewan kecuali Julia. Julia hanya mendengar bunyi tapak kasut pelajar baru tersebut. Prof memberi mikrofon kepada pelajar baru itu.
“Assalamualaikum, saya Muhammad Firdaus bin Abdul Razak.” Betullah, itulah nama penuhnya, itulah suaranya. Julia memejamkan matanya tidak dapat menerima kenyataan yang lelaki itu sekarang menjadi rakan sekelasnya. Kenapa? Kenapa?
“Saya sebenarnya dari UM, tapi disebabkan hal-hal tertentu saya terpaksa pindah sini. Dulu ambil asasi sains hayat dekat UM, cita-cita nak jadi phisiotherapist la, impian nak buka fitness centre, hobi suka main badminton hihihi” sambung Firdaus dengan nada mesra dan ketawa kecil. Suasana dewan kuliah kembali riuh dan kedengaran pelajar wanita memuji personaliti Firdaus yang mesra dan penampilannya bergaya. Kulitnya agak cerah, tinggi sederhana, badan kurus tapi agak bidang. Rupanya sedikit seperti keturunan Cina sikit.

Sudah seminggu, tapi Firdaus belum dapat beranikan diri untuk dekatkan diri dengan Julia. Dia takut kalau Julia masih tidak dapat menerima dirinya. Bagi Firdaus, Julia merupakan satu-satunya insan yang dia benar-benar sayang. Julia juga merupakan kawan karibnya sejak darjah 6 lagi. Kawan sepermainannya, kawan sekelasnya, jiwanya, raganya. Hanya Julia yang menerimanya sebagai kawan ketika zaman kecil dulu. Firdaus mengalami perubahan dalam kehidupan apabila ibunya meninggal dan ayahnya masuk penjara akibat dadah. Hidupnya terumbang-ambing, tinggal bersama datuk dan neneknya. Ketika itu berumur 12 tahun, dia dikecam dan dibuli oleh kanak-kanak sebayanya dan selalu main sorang-sorang. Sehinggalah, seorang kanak-kanak perempuan yang juga merupakan kawan sekelasnya mengajak dia main badminton bersama. Sejak itulah, Julia dan Firdaus menjadi kawan baik. Belajar bersama, bermain bersama, malah ibu bapa Julia pun menyukai Firdaus. Sehinggalah tingkatan lima, hubungan mereka menjadi retak akibat peristiwa hitam menimpa hidup Julia.

“Weh jom la main badminton. Sejak masuk sini tak main lagi badminton nih.”
“Takyah nak badminton sangatlah Eli weh, hang tu raket pon takdak. Aku smash satgi baru tau.”
“Kau asal Aten, selalu je tak puas hati dengan aku. Jeles la tu aku kan atlet terkemuka kat kolej ni.”
“Nak menggedik dengan ‘lee yong dae’ pujaan kau sebenarnya. Macamlah aku tak kenal kau. Pffffttt.”
“Eh memang arr. Dah laa hensem macam yong dae, skill pun macam yong dae. Cair nye aku. Aku panggil dia Lee Yong Daus hahahahahaha.”
“Hang lap sap air liuq hang meleleh tu.” Memang kalau Eli dengan Fathin bergaduh tak akan berkesudahan.
“Weh, weh, weh, best jugak main badminton ni. Jomla esok pagi. Aku ni tak suka sukan yang kene matahari. Badminton takpe, main dalam dewan. Jomlaaa.” rayu Anasuhah yang tak pernah bersukan. Sememangnya ramai yang bersetuju nak main badminton kecuali Julia yang sedang belajar dalam biliknya.
“Jo, jom main badminton esok. Pagi. Esokkan Sabtu, takpela nak enjoy-enjoy sikit.” ajak Suraya.
“Taknak aku, aku banyak lagi tak study ni.”
“Jo, aku tahu lah quiz Isnin ni. Tapi, quiz je pon. Jawab betul salah je pon. Ahad malam sempat lagi study Jo. Lagipun otak kita ni takleh laa study memanjang nanti mati otak nanti. Kita boleh lepas stress dengan smash. Puishhhhh, puishhhh, puishhhhh.” Suraya buat gaya smash sambil mengeluarkan bunyi pelik.
“Ermmmm tengoklah dulu.”

Rela atau tidak, Julia ikut sahaja kehendak rakan-rakannya main badminton. Selepas diheret oleh kawan-kawannya tadi, Julia akhirnya mengalah terpaksa ikut serta. Selain Julia, ada lagi sorang yang agak pemalas nak bangun pagi ni. Syazlin agak malas sikit kalau bab-bab bersukan ni. Tapi diheretnya juga.
“Aduiii pagi-pagi dah ada kat gelanggang ni macam bersungguh pulak.” mengeluh Syazlin sambil menguap. Mengantuknya belum hilang dan matanya masih kuyu.
“Weh kita kene datang awal sebab nak book court ni awal-awal. Kalau lambat, tak sempat la.” jelas Eli.
Pada mulanya, Eli berpasangan dengan Suraya lawan Fathin berpasangan dengan Anasuhah. Julia, Tengku dan Syazlin berada di tepi gelanggang hanya menontonnya dulu. Pada mulanya, Julia hanya biasa-biasa saja. Tapi, lama-kelamaan muncul perasaan terkilan dalam hatinya. Pernah dulu, gelanggang badminton merupakan rumah kedua baginya. Mengimbau kenangan dulu, Julia sangat menggemari badminton. Muncul kembali wajah-wajah yang selalu bersama Julia di gelanggang. Encik Malek jurulatihnya, papa, mama, Jihan adiknya, dan tentu sekali Firdaus. Sudah 3 tahun, Julia tidak memegang raket. Kali ini, dia tidak pasti sama ada dia boleh memegang raket ataupun tidak. Bukan kerana tidak pandai bermain, tapi hatinya masih sakit mengenang peristiwa itu. Dia begitu kecewa dan sedih kalau terdengar atau melihat sesuatu yang berkaitan dengan badminton. Julia jadi tidak suka ke padang kerana mesti ada orang yang main badminton.

“Nah Jo, aku dah tak larat dah.”Anasuhah menghulurkan raket kepada Julia. Tiba-tiba sahaja raket sudah berada di tangannya. Jantungnya berdegup kencang. Dia masuk ke gelanggang tapi langkahnya layu dan tidak bermatlamat. Dia masih dalam lamunan. Detik-detik dia memenangi kejohanan di peringkat negeri Perak adalah perkara yang paling dia takkan lupa. Kawan-kawannya kehairanan dengan gerak geri Julia.
“Jo, aku nak bagi kat kau ni.” Suraya mula servis kepada Julia. Julia yang lemah memegang raket mahu menerima bulu tangkis yang tinggi dan menghayun raket semampunya. Namun raketnya tidak mengena dengan bulu tangkis itu. Dia melepaskan raket dan terdiam seketika. Mungkin terkejut dengan tahap permainannya tadi. Julia masih tercegat disitu sambil menudukkan kepala. Air mata mula bergenang tapi rambut sisinya kedepan melindungi wajah Julia yang sugul itu. Rakan-rakannya makin hairan dengan keadaan Julia sekarang.
“Jo, ok tak ni?” Anasuhah dan Tengku menghampirinya. Julia sudah tidak dapat menahan air matanya yang bergenang. Hanya dengan satu kerdipan, air matanya akan mencurah pipi. Dia tak mahu rakan-rakannya lihat keadaannya sekarang ni lalu dia beredar dari situ dan keluar dari gelanggang. Sebaik sahaja Julia berpaling dari tempatnya, di hadapannya sekarang ialah Firdaus yang sudah lama berada disitu. Firdaus menyaksikan segalanya sejak Julia masuk gelanggang. Melihat Firdaus, hati Julia lagi sakit dan terus melarikan diri.

Firdaus sedar bahawa peristiwa itu benar-benar memberi impak dalam kehidupan Julia. Dan dia tahu dialah penyebab utama. Justeru itu, kedatangannya disini bertujuan mengembalikan kehidupan Julia dan ingin meminta maaf dengan Julia. Firdaus amat berharap dia dengan Julia dapat kembali dan berkawan seperti dulu. Dia sangat menyayangi dan memerlukan Julia kerana buat masa sekarang Firdaus tidak mempunyai siapa-siapa selain Julia. Melihat Julia menangis tadi, Firdaus makin terluka. Firdaus terus mengejar Julia untuk berbicara dengannya.

“Julia Amin!”

Hampir dua bulan, Firdaus cuba mendekati Julia namun cubaannya gagal. Firdaus sudah buntu cara bagaimanakah lagi untuk menarik balik Julia ke dalam pangkuannya. Firdaus mengekori Julia kemana Julia pergi. Ke library, ke kafe, dan duduk tepi Julia dalam dewan kuliah dan bilik tutorial.
“Kau nak apa lagi ni Firdaus? Sudahlah, tak habis-habis lagi ke kau nak menyusahkan hidup aku, hah? Tak nampak ke? Atau buat-buat nampak? Aku memang dah tak boleh terima kau lagi. Jadi please, jangan tunjukkan muka kau depan aku lagi?” sudah berulangkali Julia membariskan ayat-ayat itu namun Firdaus memekakkan telinganya. Kali ini dia tiba-tiba berada di tepi Julia ketika Julia dan kawan-kawannya menikmati makanan tengahari. Firdaus memberi isyarat mata kepada Suraya lalu Suraya dan kawan-kawannya beredar dari situ. Julia yang asyik makan nasi lauk ayam pedas tiba-tiba terpinga-pinga melihat semua kawan-kawannya berdiri.
“Eh, korang nak gi mana ni?” tanpa penjelasan kawan-kawannya beredar dari situ.
Julia baru tersedar yang Firdaus ada di tepi bersama nasi ayam. Firdaus terus membuka selera tanpa berbicara. Tertutup selera Julia untuk menghabiskan makanannya. Sekali-sekala Julia mengerling kearah Firdaus yang tengah berselera menghabiskan nasi ayamnya, Julia senyum kambing dan ketawa kecil hanya untuk menyindir. “Kau ni memang tak tahu malu kan? Nak cakap terdesak, aku rasa ramai je yang nak kawan dengan kau. Tak macam dulu. Huhhhhh. Apa kata kita jumpa petang ni dekat taman permainan dekat tasik tu. Let settle this. Benda ni menyerabutkan kepala otak aku.” Benar kata-kata itu menusuk jiwa Firdaus. Firdaus terpaksa menelannya walaupun pahit seperti hempedu, inilah pengorbanan yang dia terpaksa terima diatas kesilapannya dulu yang telah meragut impian kawan karibnya dulu.
“Weh, Su? Kenapa eh Firdaus tu tekad sangat nak tackle Julia. Macamlah Julia je perempuan kat universiti ni. I ni, Eliya Nadia lagi cantik tak nye nampak pulak. Julia tu pun satu, kenapa susah sangat, konon-kononnya play hard to get. Menyampah pulak.”
“Yelah Su, kau kan rapat sikit denga Julia. Koreklah.” tambah Fathin.

Petang itu seperti yang dijanjikan mereka berjumpa. Segala luahan yang selama ini akan diluahkan. Tiba saat Firdaus dan Julia saling berbicara. Mungkin inilah masa terbaik untuk Firdaus minta maaf sejujur-jujurnya. Dia lega apabila Julia akhirnya memberi peluang kepadanya.
Empat mata bertemu. Mata-mata itu tidak seperti dulu. Tiada lagi sinar dan harapan yang terbit dari mata-mata itu. Bagi Julia, amat sukar untuknya memaafkan Firdaus yang telah menghancurkan impiannya sejak kecil lagi. Julia berimpian untuk menjadi pemain badminton yang terkemuka suatu hari nanti. Cita-citanya begitu hampir tatkala dia dipilih untuk mewakili negeri Perak dalam Sukan Sea dalam acara single. Menurut jurulatihnya, jika Julia sekurang-kurangnya meraih perak, kemungkinan jurulatih negara akan memanggilnya masuk dalam skuad negara. Namun semuanya punah-ranah apabila Julia terbabit dalam kemalangan dimana Julia dirempuh kereta ketika melintas jalanraya untuk mengejar Firdaus. Ketika itu, sikap dingin Firdaus terhadap Julia menyebabkan Julia terpaksa memujuk Firdaus. Namun Firdaus terus berdiam dan Julia bingung apa punca yang menyebabkan Firdaus berkelakuan sebegitu. Akhirnya mereka mengakhirinya dengan pergaduhan dan Julia terpaksa memujuk dan mengejar Firdaus. Akhirnya, kemalanagan itu menyebabkan trauma pada tulang pehanya dan juga pergelangan tangannya. Julia terpaksa menarik diri daripada menyertai Sukan Sea. Julia terpaksa berulang alik ke pusat rehab dan berjumpa pakar fisio hampir setahun. Dia terpaksa berhenti daripada berlatih dan berasa sangat kecewa apabila dia sudah tidak secekap dulu. Disebabkan itu, Julia kecewa dengan badminton dan sangat membenci Firdaus. Dan di pusat rehab itu jugalah timbul minat Julia dalam bidang fisioterapi.
“Ju, aku tahu kau sangat benci dengan aku. Takpe, kau memang layak untuk marah aku, benci aku. Tapi maafkanlah aku. Aku sedar yang time tu aku terlalu mengikut emosi. Aku takut, takut kehilangan kau. Kau asyik berlatih dan aku dah takde kawan untuk main sekali. Aku janji, aku buat apa sahaja asalkan kau maafkan aku. Jadi hamba kau pun aku sanggup. Kau nak balas dendam sekalipun, balaslah. Tapi jangan pulau aku Ju.” Julia hanya bersahaja mendengar rayuan.
“Firdaus, aku dah tak tahu nak balas dendam macam mana. You have nothing to lose. Kau takde impian seperti mana aku mempunyai impian. Jadi, memang inilah jalannya.” Mata Julia sedikit berair tapi dia masih dapat menahannya. Lalu Julia melangkah kaki, menghilangkan diri tatkala Firdaus masih berdiri kaku disitu. Memikirkan kata-kata yang dilafazkan oleh Julia sebentar tadi membuat hatinya menangis, Firdaus tak mampu mempertahankan ego lelakinya, akhirnya dia menitiskan air mata. “Inikah pengakhirannya.”

“Jo, kau ada masalah ke dengan Firdaus? Aku tengok korang berdua ni macam dah pernah kenal dulu. Ex ke?” tanya Suraya dengan nada lembut.
“Panjang ceritanya Su, aku pun dah penat nak pikir benda ini. Aku letih. Aku sakit. Aku kecewa. Aku patah hati.”
“Takpe Jo, kau luahlah segala-galanya, aku sedia mendengar. Aku tak paksa kau untuk menceritakan semua. Tapi Jo, masalah ni kalau kita pendam sorang ia boleh membakar diri. Aku takut nanti kau dah tak tahan, kau buat macam-macam.
Julia membuka sedikit demi sedikit rahsianya. Segala masalah diluahkan. Luahan itu keluar bersama air mata. Suraya dengan tenang memujuk Julia yang teresak-esak menangis. Kini Suraya tahu segalannya, siapa dia dulu. Agak terkejut tapi dia memendamnya.
“Aku benci dia bukan disebabkan kemalangan tu Su, tapi aku benci dia sebab dia hilang saat aku memerlukan dia. Dia menghilang saat aku terlantar kesakitan di hospital. Mana dia saat aku bersedih apabila aku terpaksa melupakan impian aku. Aku benci dia sebab dia buat aku sangat rindu dengan dia. Aku sangat merindui dia, Su.” Akhirnya Julia terlelap dalam pelukan kawan baiknya itu.

Julia mendapat mesej sebaik sahaja kelas tamat untuk hari ini. Mesej itu tidak lain selain daripada mesej dari Firdaus. Firdaus ingin berjumpa dengannya, mungkin untuk terakhir kali. Namun, Julia tidak pedulikannya. Kali ni Julia bertekad untuk stay dekat library sampai library tutup. Tugasnya sekarang ialah memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajarannya. Peperiksaan akhir semester pun kian menghampiri.
Sedang khusyuk belajar, Julia baru sedar jam sudah 9.45 malam dan kelihatan pelajar-pelajar semakin berkurang. Julia pun sangat letih kerana seharian duduk di kampus.
“Arghhhhhhh mampus aku kalau tak sempat naik bas paling akhir ni.” Berlari keanak-anakan Julia menuju perhentian bas yang mengangkut pelajar-pelajar dari kampus pulang ke kolej kediaman. “Grrrrrrr jangan cakap bas dah pergi.” Tiada seorang pun yang berada disitu. Jam pukul 9.55 malam. Bas paling akhir kebiasaannya pukul 10 tapi tak tentu juga. Kadang-kadang awal, kadang-kadang lewat.
“Julia.” Julia pun berpaling mencari suara yang memanggilnya tadi. Firdaus lagi didepannya. “Apa lagi kau nak? Kalau macam ni hari-hari, aku sanggup tukar universiti laa.”
“Julia, kau janji dengan aku, kalau aku buang sesuatu perkara yang bermakna dalam hidup aku, kau akan maafkan aku.”
“Huhhhh jangan cakap kau nak buang kaki kau pulak. Sebab itu tak berbaloi.” Julia merasakan Firdaus pun sepatutnya menerima nasib sepertinya.
“Esok aku dah tak datang beajar kat sini lagi.”
“Jadi inilah impian kau selama ini? Ouhh aku baru teringat yang kau nak buka fitness centre suatu hari nanti. Ouhhhh ok ok, aku tak boleh janji sama ada aku boleh maafkan kau tidak. Tapi aku akan cuba. Lagipun ini yang terbaik sebab lepas ni aku takkan jumpa muka kau lagi.” Tahap kebencian Julia kepada Firdaus memang sangat memuncak. Akhirnya Julia membelakangi Firdaus dan beransur pergi.
“Aku ada disitu, Julia. Setiap hari.” sambung Firdaus. Langkah Julia terhenti. “Aku tengok kau menangis meraung, tapi aku pengecut. Aku tak berani untuk menunjukkan diri didepan kau Julia. Jadi memang salah aku, aku penakut, pengecut untuk menghadapi realiti dan hukuman. Jadi sekarang aku berani untuk melepaskan segalanya. Impian aku bukanlah membuka fitness centre. Bukan menjadi physiotherapist ” Firdaus sudah tidak tahan lagi menahan air matanya.
“Impian aku adalah kau, Julia. Kau adalah impian terbesar aku. Jadi inilah balasannya. Aku terpaksa melepaskan kau. Jadi maafkanlah aku. Aku takkan kacau kau lagi. Aku jani, aku akan lupa segala-galanya tentang kau. Aku pun akan lupakan impian aku seperti kau terpaksa lupakan impian kau.”
Bertitisan air mata kedua-duanya. Julia diam menundukkan kepala tidak berpaling tidak pula melangkahkan kakinya. Dengan perlahan Firdaus mengangkat kakinya beredar dari situ. Rela atau tidak, inilah dendam yang dia terpaksa tanggung. Pedih hatinya tidak tergambar. Jantungnya seakan berhenti. Lemah kakinya melangkah.
“Firdaus Abdul Razak” jerit Julia dari belakang yang mengejarnya. Firdaus terus melangkah demi kebaikan bersama. “Firdaus”. “Firdaus.” Firdaus” Julia memanggilnya berulang kali. Ada sesuatu yang terlintas di fikirannya kini membuat langkahnya terhenti. Peristiwa ini seakan-akan peristiwa pahit itu. Firdaus sangat risau jika perkara sama akan berlaku jika dia tidak berhenti. Lantas dia terus memalingkan badannya mencari kelibat Julia. Kelibat Julia hilang daripada pandangannya. Tiada lagi suara yang memanggilnya. Apabila dia berpusing balik ke depan. Bushhhhhhhhhh! Satu timbukan tepat kearah hidungnya. Firdaus terasa pening dan mahu pengsan tapi masih boleh bertahan.
“Jadi kau nak tinggalkan aku sekali lagi hahhhh?”
“Julia”
“Ingat eh aku takkan maafkan kau kalau kau pergi lagi.” Keluar cecair merah meleleh daripada hidung Firdaus. “Sebagai hukuman, kau kene jadi hamba aku, baru aku maafkan, huhhhhh” Firdaus hanya diam seribu bahasa. Tidak tahu macam mana nak bagi respon.
Julia perlahan-lahan timbuk dada Firdaus. “Jahat, jahat, jahat.” itulah perkataan yang dilemparkan kepada Firdaus. Lantas tangan Julia digenggam Firdaus. “Dah la tu, sakitlahh.” Julia terus menangis dalam pelukan Firdaus.

“Class, attention please. Senior ask me to find mix player from our batch for the Canselor Cup that will be held next month. Anyone volunteer?” Semua jari telunjuk tertumpu ke arah tempat duduk Firdaus. Tak semena-mena Firdaus yang kena wakil. Sambung class rep “so, who will be his partner?” Suraya mengangkat tangan, “Jo boleh main.”
“Weh Su, kau gila apa?” Julia mencubit tangan Suraya.
“Auchhhhh! Alaa kau boleh punyer. Yang penting kene practice.” Pelajar lain berasa pelik dengan cadangan Suraya tapi memandangkan tiada orang lain yang boleh main, terpaksalah Julia menerimanya.

“Weh, kenapa kau begitu yakin sangat tadi mencadangkan Julia. Kau gila apa? Jo tu tak pernah bersukan. Ingat tak yang time kita main haritu siap menangis sebab tak reti. Takpe ke Su?” rungut Eli. “Kalau kau tak yakin apa kata kau lawan dulu dengan dia. Kita tengok.” Suraya, Eli dan Fathin bersiap sedia untuk turun latihan futsal. Tapi sebelum tu mereka akan singgah dulu kat dewan gelanggang badminton untuk melihat kumpulan daripada jurusan fisioteapi berlatih. Suraya yang bersungguh nak bagi semangat dekat kawannya Julia.

“Kalau kau kalah dengan aku hari ni kau kene kahwin dengan aku, hahahahaha amacam?”
“Weh not fair, aku dah lama tinggal kot. Kau sekarang dah besar. Dah kuat. Kalau smash confirm aku takleh ambil. Ini tidak adil.”
“Well, you used to be a pro babe.”
“Ni kau babe. Takyah nak babe sangat dengan aku.” Julia mengetuk kepala Firdaus dengan raketnya.

Terlopong Eli dengan Fathin sebaik sahaja melihat cara permainan Julia. Seakan-akan pemain professional. Walaupun skill Julia banyak merudum tapi Julia masih mempunyai kekuatan pada tangannya. Setakat perlawanan peringkat universiti bolehlah dia sertai. Julia hampir mengalahkan Firdaus tapi ternyata Firdaus sekarang lebih kuat. Julia kalah dengan mata 21-17. “Su, macam mana kau tahu Julia boleh main?”. “Well.”

“Huuuuu kalah, kene kawen dengan aku, ahahahahahaha.”



No comments:

Post a Comment